Wednesday, July 22, 2009

Sungguh Kesian.....Inilah Dugaan Hidup

Hari ini aku terpaksa menerima sepasang suami isteri bersama seorang anak perempuan berusia 6 bulan warganegara Indonesia. Nasib baik ada Abang Rud's membuat akuan terima serahan PDRM. Kalau tidak, memang kelam kabut aku jadinya. Bila pegawai PDRM tersebut sudah jalan, Abang Rud's bertanya kepada tahanan tersebut mengapa ia ditahan. Orang Kena Tahan (OKT) tersebut memberitahu bahawa dia telah menampar salah seorang rakan sekerja wanita di rumah kongsi mereka di Bukit Garam kerana dia dituduh mencuri di rumah wanita berkenaan. Disebabkan hal tersebut, berlaku sedikit salah faham hingga menyebabkan majikan mereka memanggil pihak polis dan dia ditangkap atas tuduhan mencuri.

Si suami ni sebenarnya tidak kisah dia ditangkap tapi apa yang amat menyedihkan si suami ni, isteri dan anaknya juga turut ditangkap dengan alasan pihak majikan tidak mahu menanggung mereka kerana si suami telah melakukan kesalahan. Disamping itu, banyak barang-barang mereka di rumah kongsi tersebut tidak sempat diambil. Si suami agaknya turut kesal kerana anaknya yang masih kecil terpaksa bersusah payah seperti beliau hanya kerana tindakannya mempertahankan diri daripada dituduh mencuri.

Aku bertanya kepada mereka sama ada ingin membeli makanan. Si suami memberitahu dia sememangnya agak lapar. Jadi mereka bersetuju aku memesan makanan di restoran berhampiran. Mereka terperanjat dengan harga yang aku beritahu. Sebungkus nasi campur berharga RM4. Bermakna 2 bungkus nasi campur sudah berharga RM8 . Tapi bagi kami ia harga yang berpatutan. Mungkin kerana amat sukar untuk mencari rezeki menyebabkan RM8 satu nilai yang amat besar.

Si suami ini turut memberitahu bahawa kesusahan hidup di negara asal menyebabkan mereka berhijrah ke negara ini untuk mencari sesuap nasi. Dia juga asyik menyalahkan diri kerana dia seorang pendatang asing, majikannya membuang mereka sesuka hati tanpa menyiasat terlebih dahulu apa yang berlaku. Tapi bagi aku, mereka datang ke negara ini dengan cara yang sah dan mengikut undang-undang. Mungkin kerana majikan mereka tidak mahu berlaku pergaduhan sehingga menyebabkan ada pihak yang nyawanya melayang.

Bila melihat senyum tawa anak yang baru berusia 6 bulan dan masih belum mengerti tentang kehidupan, aku jadi kesian melihat nasib budak tersebut di Pusat Tahanan Sementara dan seterusnya kehidupan mereka di negara asal kelak. Aku juga tidak sanggup melihat anak tersebut memandangkan aku juga mempunyai seorang anak kecil.

Si isteri ada merayu pada aku sekiranya dia boleh pulang ke Bukit Garam. Namun aku menyuruh untuk merayu kepada Ketua Bahagian Tangkapan bab aku bukan bos. Tapi memang kompen dia tidak boleh balik ke Bukit Garam kerana majikan mereka sendiri yang menghantar mereka ke Balai Polis berhampiran dan menyerahkan pasport kepada anggota polis kerana mereka tidak diperlukan untuk bekerja di ladang tersebut. Memang kesian. Apabila timbul perasaan kesian dalam diri, Bos John pernah berkata bahawa kerja di bahagian penguatkuasa perlukan kekuatan mental dan fizikal serta tidak mudah merasa kesian pada orang lain terutamanya yang langsung tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

2 comments:

  1. Uih, susah juga kerja ugou ni, terpaksa melawan emosi, tapi sebab amanat kerja dan undang2 memang kena jalankan tanggungjawab bah kan.

    ReplyDelete
  2. Memang susah gak duduk di enforcement. Itu sebahagian ja pengalaman yang sa dapat sejak kerja ngan Imigresen.

    ReplyDelete