Thursday, October 22, 2009

Bahasa Dusun

Pada masa kini, ramai kanak-kanak mahupun remaja Dusun lebih selesa menggunakan Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris sebagai bahasa pertuturan harian mereka. Masa zaman persekolahan dulu, aku juga selalu menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan harian. Sehingga aku sering ditegur oleh ibuku kerana sering mengabaikan bahasa ibunda. Bukan ibuku sahaja yang menegur aku, malah orang-orang tua di kampung (terutamanya Pakcik Jaibi) selalu memarahi aku kerana aku selalu menjawab dalam Bahasa Melayu bila ditanya dalam Bahasa Dusun.


Bagi aku, buat apa nak cakap Bahasa Dusun sekiranya ramai rakanku lebih selesa berbahasa Melayu di rumah mahupun di sekolah. Namun tanggapanku mula berubah bila salah seorang rakan aku mengatakan bahawa Bahasa Dusun adalah bahasa yang ketinggalan zaman. Malah rakan aku malu bila orang tuanya bercakap dalam Bahasa Dusun. Memang tersirap darah aku bila mendengar rakan baikku berkata begitu. Apatah lagi beliau mempunyai ibu bapa berbangsa Dusun. Bagi aku, sebagai anak yang berbangsa Dusun, aku amat bangga dengan kebudayaan dan bahasa ibundaku dan tidak memandang remeh mengenai adat Orang-orang Dusun.

Aku mula mempelajari Bahasa Dusun semasa aku mula bekerja kerana di pejabat, terdapat beberapa rakan sekerjaku yang berbangsa Dusun. Aku amat berterima kasih kepada PIT Johnny Aloysius (kini bertugas di Sarawak) kerana beliaulah aku kini lancar berbahasa Dusun. Di samping itu, aku belajar Bahasa Sungai Bukit Garam daripada Kak Rosnah (kini dah bersara). Namun aku tak berpeluang untuk belajar Bahasa Sungai Kinabatangan bab suami aku tak pandai bercakap dalam bahasa ibundanya. Aku pernah bercerita dengan PIT Lambert Kalido (kini bertugas di Lahad Datu) dalam Bahasa Dusun. Beliau amat terperanjat kerana aku agak pandai menggunakan bahasa ibunda. Beliau menyatakan bahawa anak-anak beliau yang seumur dengan aku tak pandai berbahasa Dusun. Cuma mereka memahami bahasa tersebut bila kedua orang tua mereka bercakap (macam aku masa zaman sekolah).

Bila aku berbual dengan PIT Johnny, aku memang tidak dibenarkan untuk mencampurkan Bahasa Dusun dengan Bahasa Melayu kerana ia akan merosakkan keindahan Bahasa Dusun katanya. Ramai rakan sekerjaku akan tercenggang bila kami berbual. Kata mereka kami bercakap seperti Bahasa Jepun. Namun kini, ramai rakan sekerjaku yang berminat untuk mempelajari Bahasa Dusun kerana ketua pejabat kami pun orang Dusun Ranau.

Kini aku boleh berbangga kerana salah seorang anak aku agak fasih berbahasa Dusun kerana tinggal dengan kedua orang tuaku. Namun aku agak terkilan kerana semua anak-anakku tak berpeluang untuk mempelajari bahasa ibunda abah mereka kerana dia sendiri pandai bercakap dalam bahasa ibundanya.

No comments:

Post a Comment